Khamis, 30 Mac 2017

Sila serah diri sebelum tengah malam ini



Putrajaya: Individu dipercayai terbabit cubaan merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berhubung penganugerahan pingat diberi tempoh sehingga 12 tengah malam ini untuk menyerah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata, sekiranya individu terbabit gagal berbuat demikian, pihaknya akan menahan serta mendedahkan maklumat dirinya kepada media. 

"Dia tahu kami sedang mencarinya, namun masih melarikan diri. Individu ini berketurunan Cina dan berkepala botak. 

"Nama dia sudah disekat di lapangan terbang sekali gus tidak boleh ke luar negara dan dia juga masih berada di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPRM di sini, hari ini. 

Ahad lalu, Sultan Ibrahim menyatakan kesediaan mendedahkan maklumat kepada SPRM berhubung orang tengah yang cuba merasuah baginda mengenai penganugerahan pingat. 

Baginda mendedahkan menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara untuk gelaran 'Tan Sri' daripada Yang di-Pertuan Agong. 

Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim bertitah, baginda mahu SPRM mengadap segera supaya perkara berkenaan dapat disiasat. - Harian Metro
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...