Jumaat, 3 Mac 2017

Kenapa harga gula naik...??



Harga gula runcit naik 11 sen daripada RM2.84 sekilogram kepada RM2.95 sekilogram kenaikan hampir 4%. Kali terakhir harga gula dinaikkan adalah pada Oktober 2013 di mana PM mengumumkan di dalam Bajet 2014 kerajaan akan menghapuskan subsidi gula dengan menaikkan harga sebanyak 34 sen dari RM2.50 sekilogram.

Sejak Oktober 2014, harga gula tidak pernah dinaikkan. Dalam tempoh masa yang sama harga gula pasaran antarabangsa naik daripada 17.18 US sen setiap pound pada November 2014 kepada 19.59 US sen iaitu kenaikan sebanyak 14%.

Sebab lain harga gula naik adalah penyusutan Ringgit berbanding US Dollar. Dalam tempoh November 2014 sehingga hujung Februari yang lalu, Ringgit susut 26% berbanding US Dollar.

Saya tahu ada yang akan menyalahkan Ringgit jatuh disebabkan kerajaan, UMNO, 1MDB dan sebagainya. Hakikatnya Ringgit menyusut kerana banyak faktor luaran yang diluar kawalan atau jangkaan kerajaan Malaysia seperti kejatuhan harga minyak mentah global, kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat oleh Federal Reserve, kedudukan ekonomi dan kewangan China yang tidak stabil dan sebagainya. Boleh baca dengan lanjut tentang Ringgit disini

Malaysia pula mengimport hampir kesemua bekalan gula mentah daripada luar negara terutamanya Thailand, India dan China sebelum diproses. Setahun Malaysia mengimport RM3 ke 4 billion gula dari luar negara. Pada tahun 2015 Malaysia mengimport RM3.3 billion gula dan pada tahun 2016 sebanyak RM4.0 billion gula. Oleh sebab penyusutan Ringgit, kos mengimport gula juga meningkat.

Walaubagaimana pun sekiranya Ringgit tidak jatuh berbanding US Dollar sekalipun harga gula antarabangsa tetap juga meningkat 14%. Oleh sebab yang demikian harga siling gula runcit yang tidak naik selama 3 tahun perlu dinaikkan oleh kerajaan. Kenaikannya pula hanya 4% berbanding sepatutnya kenaikan yang lebih tinggi. Syarikat pengeluar gula di Malaysia dikatakan memohon kerajaan menaikkan harga siling gula sehingga 56 sen ke 85 sen iaitu 20 ke 30% tetapi kerajaan hanya membenarkan kenaikan sebanyak 11 sen sahaja.

Itu fakta tentang harga gula.

Selain daripada fakta berkenaan harga suka saya nak sentuh tentang kesan pengambilan gula kepada rakyat Malaysia.

Mengikut sebuah laporan bertajuk National Health and Morbidity Survey, 17.5% atau 3.5 juta daripada populasi penduduk Malaysia yang berumur 18 ke atas menghidap penyakit kencing manis atau diabetes dan angka penghidap penyakit diabetes meningkat setiap tahun di Malaysia.

Angka kematian disebabkan penyakit diabetes juga meningkat setiap tahun dan merupakan penyebab kematian tertinggi di Malaysia selepas sakit tua. Tahun 2014 terdapat 2,161 kematian disebabkan diabetes meningkat daripada 1,869 kematian pada tahun 2013.

Di peringkat antarabangsa pula Malaysia merupakan negara ke-14 tertinggi mempunyai penghidap diabetes berbanding populasi. Negara-negara di atas Malaysia semuanya negara-negara Arab seperti Saudi, Kuwait, Bahrain, UAE dan negara-negara kepulauan kecil seperti Mauritus, Guam, Palau.

Ini menjadikan Malaysia negara tertinggi di Asia Tenggara mempunyai pesakit diabetes berbanding populasi. Sesuatu yang tak patut kita banggakan.

Kebiasaannya saya tidak suka membandingkan harga-harga barangan di Malaysia dengan harga barangan di negara lain tetapi dalam kes ini, harga gula runcit di Malaysia memang yang paling rendah di Asia Tenggara dan kesannya apa? Penghidap diabetes juga paling tinggi di Asia Tenggara.

Saya tahu isu ini sensitif tapi pendapat peribadi saya, gula sepatutnya dicukaikan. Kerana apa? Disebabkan kita banyak pesakit diabetes, secara tidak langsung kerajaan terpaksa membelanjakan berbillion-billion Ringgit setahun untuk menampung subsidi kesihatan. Ini termasuklah kos rawatan, ubat, dialisis dan lain-lain.

Saya ada nampak banyak juga yang bising harga gula naik semalam seolah-olah harga gula antarabangsa itu boleh dikawal oleh kerajaan. Golongan ini juga mungkin tidak kisah dengan kos subsidi kesihatan yang meningkat setiap tahun dan juga jumlah penghidap diabetes di Malaysia yang meningkat setiap tahun.

Beberapa hari yang lepas saya hadiri Dialog #TN50 bersama pelajar & NGO perubatan dan pergigian. Ada banyak aspirasi yang menarik diluahkan salah satunya adalah Malaysia bebas diabetes menjelang 2050.

Untuk mencapai perkara berikut pertama sudah tentu kita sendiri kena mengawal pengambilan gula dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Kedua kerajaan boleh campur tangan dengan mengenakan cukai ke atas gula untuk mengurangkan penggunaan gula di kalangan rakyat Malaysia.

Di negara maju ada yang mengenakan cukai manisan seperti soda tax dan sugary drinks tax. Untuk menjadi negara maju, elok kita ikut contoh negara maju. 

Tidak ada salahnya kurangkan gula untuk kesihatan dan juga kewangan peribadi dan kerajaan. 

Kredit - Syahir

Rujukan:

1. Bajet 2014 - MOF: 

2. Sugar No. 11 Price - Nasdaq: 

3. National Health and Morbidity Survey 2015: 

4. Diabetes Prevalence - World Bank: 









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...