Selasa, 28 Mac 2017

Dera budak, pembantu pusat tuisyen ditahan



Johor Bahru: Polis menahan seorang pembantu pusat tuisyen lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan kes dera kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun di sebuah pusat tuisyen di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, lelaki itu ditahan pada jam 2.30 petang tadi bagi membantu siasatan mengikut Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001 namun enggan mengulas lanjut.

Tangkapan itu susulan laporan polis dibuat kakak mangsa berusia 24 tahun yang tular di media sosial mengatakan adik lelakinya berusia tujuh tahun didera guru tuisyen menggunakan cawan plastik dan kaca serta kuali kecil yang direndam di dalam air panas bagi menutup kesan rotan.

Malangnya, punggung kanak-kanak lelaki itu melecur teruk hingga berdarah dan helah guru tuisyen itu terbongkar apabila kanak-kanak itu melarikan diri sebelum mendapatkan bantuan daripada jiran guru wanita berkenaan di Taman Perling.

Jiran guru tuisyen itu kemudiannya pergi ke tempat kakak mangsa bekerja di Taman Perling dan membawa mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, 10 malam semalam.

Dalam laporan polis itu, kakak mangsa turut mendakwa adiknya dirotan sebanyak empat kali kerana dikatakan degil, selain tidak diberikan makan dan minum sejak tinggal di rumah guru berkenaan selama dua minggu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...