Jumaat, 24 Mac 2017

Analisis 15 to 5 Plan TLDM




15 to 5 plan TLDM adalah satu rancangan baru oleh TLDM untuk mengurangkan kelas kapal dalam perkhidmatan mereka daripada 15 kelas kepada hanya 5 kelas. Walaupun pengurangan kelas, ini bukanlah bermakna akan berkurangan kapal tetapi sebaliknya lebih banyak kapal akan diperolehi untuk sesuatu kelas tersebut. Contohnya anda boleh lihat dalam gambarajah yang disertakan. Objektif plan ini ialah supaya memudahkan pengoperasian, logistik dan penyelenggaraan kapal dalam perkhidmatan TLDM seterusnya banyak penjimatan dapat dilakukan berbanding menggunakan 15 kelas kapal yang berbeza.

Ketika ini terdapat 15 kelas kapal dalam perkhidmatan TLDM iaitu Littoral Combat Ship (LCS), frigate kelas Lekiu, korvet kelas Kasturi, korvet kelas Laksamana, NGPV kelas Kedah, FAC kelas Jerung, FAC kelas Perdana, FAC kelas Handalan, Mines Counter Measure Vessel (MCMV), Multi-purpose Command and Support Ship (MPCSS), kapal selam Scorpene, Auxiliary Ship BM5, kapal Hydrografi, Fast Transport Vessel, kapal latihan KD Hang Tuah dan Kapal Latihan kelas Samudera. 

Untuk 5 kelas kapal yang dirancang tersebut terdiri daripada 12 buah LCS Gowind-class, 18 buah NGPV Kedah-class, 18 buah Littoral Mission Ship (LMS), 3 buah Multi-role Support Ship (MRSS) dan 4 buah kapal selam Scorpene-class. Keseluruhannya terdapat 55 buah kapal dalam 5 kelas yang dirancang ini.

Ketika ini, 6 buah batch pertama LCS Gowind-class dalam pembinaan, 6 buah NGPV Kedah-class dalam perkhidmatan, 4 buah LMS telah dipesan dan dalam penilaian akhir rekabentuk dan spesifikasi, 3 buah MRSS masih sedang dicari dan dalam penilaian, dan 2 buah kapal selam Scorpene-class dalam perkhidmatan.

Mengenai batch kedua LCS, laporan oleh Reuters menyebut tentang perbincangan antara TLDM dengan DCNS tentang rekabentuk saiz LCS yang lebih besar. Apa yang kami lihat, walaupun perbincangan tersebut berkisar 'saiz lebih besar', kami yakin batch kedua LCS akan tetap menggunakan design Gowind-class sama seperti batch pertama LCS yang dalam pembinaan ketika ini. Walaupun perbincangan telah dilakukan sekarang, kami berpendapat batch kedua LCS tidak akan ditempah dalam masa terdekat sebaliknya kemungkinan ia hanya akan ditempah selepas selesai pembinaan batch pertama LCS atau mungkin dalam Rancangan Malaysia Ke-1X (RMK) akan datang. Melainkan berlaku keajaiban tiba-tiba Kementerian Kewangan bermurah hati release bajet tambahan untuk LCS batch kedua dalam masa terdekat.

Mengenai NGPV pula, Panglima Tentera Laut (PTL) ada menyebut tentang kemahuan TLDM untuk mendapatkan batch seterusnya Kedah-class yang dipertingkat. Batch seterusnya ini masih menggunakan platform Meko 100. Antara rancangan Kedah-class yang dipertingkatkan ini ialah untuk meletakkan keupayaan NGPV tersebut melakukan peperangan 2 dimensi berbanding hanya 1 dimensi sahaja ketika ini (persenjataan utama hanya guna meriam utama 76mm). Ada kapal Kedah-class akan mempunyai keupayaan persejataan peluru berpandu anti-kapal dan permukaan ke udara manakala ada kapal yang mempunyai keupayaan peperangan permukaan dan bawah permukaan (anti-kapal selam).

LMS pula akan mengambil alih peranan FAC, MCMV, Hidrografi, dan melakukan misi lain seperti bantuan bencana, mencari dan menyelamat, pengumpulan maklumat, keselamatan dan termasuklan keupayaan membawa peluru berpandu anti-kapal jika diperlukan. Ini bermakna bukan kesemua 18 buah kapal LMS yang dirancang dalam perkhidmatan itu akan melaksanakan misi dan tugas yang sama sebaliknya kapal-kapal tersebut akan mempunyai sistem dan tugasan yang berbeza namun masih menggunakan satu jenis rekabentuk platform yang sama.

Mengenai kapal selam, dua buah lagi Scorpene-class baru diperlukan untuk memikul beban operasi dua buah Scorpene yang ada dalam perkhidmatan TLDM ketika ini. Sama ada batch kedua Scorpene ini akan dipesan dengan peningkatan upaya seperti penambahan sistem air-independent propulsion (AIP), masih belum dapat dipastikan. Penambahan AIP mampu memanjangkan lagi jangkamasa operasi selaman sesebuah kapal selam.

MRSS pula adalah penting untuk tugasan logistik dan juga keupayaan melakukan serangan amfibia. MRSS amat diperlukan dalam tugasan penghantaran logistik antara semenanjung dan kepulauan Borneo dan juga bagi menggantikan dua buah MPCSS yang semakin berusia. Ketika ini TLDM menggunakan MPCSS KD Sri Indera Sakti yang telah berusia 37 tahun dan KD Mahawangsa yang telah berusia 34 tahun. Tahap tempo operasi yang amat tinggi dan usia yang semakin meningkat oleh kedua-dua kapal ini telah menyebabkan kos operasi dan penyelengaraan semakin tinggi.   

Sampai sini sahaja analisis kami berkenaan 15 to 5 plan TLDM pada masa ini. Jika ada apa-apa info terkini mengenai 15 to 5 plan ini, kami akan update dari semasa ke semasa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...