Jumaat, 14 April 2017

Perjanjian 'gentlemen' oleh JDT tidak harus dipersoal - Edwards



Perjanjian 'gentlemen' yang diperkenalkan oleh juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan tidak membenarkan bekas pemain beraksi menentang pasukan itu tidak harus dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu.

Pengarah Sukan JDT Alistair Edwards menerusi catatan terbaharu dalam laman Facebook JDT menyatakan: Johor Darul Ta'zim FC mendakwa bahawa perjanjian seperti itu telah lama diamalkan oleh kelab-kelab tertentu di Eropah.

"Keputusan dan perjanjian dibuat untuk mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak. Jadi, kepada individu yanvg kurang bijak, jangan cuba untuk membangkitkan isu yang kecil ini," kata beliau.

Beliau mengambil contoh Mohd Amri Yahyah, sambil berkata pemain veteran itu tidak dibenarkan beraksi menentang JDT kerana kelab yang diwakilinya sekarang, Melaka United tidak dapat membayar gaji penuhnya.

Oleh itu, Edwards berkata kedua-dua pasukan, masing-masing bersetuju membayar separuh gaji kepada pemain berusia 36 tahun itu.

Beliau berkata dua orang bekas pemain JDT - Mohd Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin -- juga menghadapi situasi yang sama kerana kedua-dua mereka dilarang menentang JDT memandangkan majikan mereka, Perak FA tidak mampu melunaskan bayaran perpindahan berjumlah RM1.2 juta bagi kedua-dua mereka.

"Apabila Perak tidak mampu membayar jumlah itu dan meminta jumlah tersebut dikurangkan kepada RM400,000, JDT bersetuju selagi kedua-dua pemain tidak beraksi menentang JDT," kata Edwards.

"Situasi yang sama dihadapi (penyerang kebangsaan) Mohd Safee Sali apabila PKNS tidak mampu melunaskan bayaran penuh perpindahan kepada JDT, jadi Safee Sali tidak boleh bermain menentang JDT disebabkan wujudnya perjanjian "gentlemen" dan JDT bersetuju membenarkan PKNS membayar separuh daripada jumlah tersebut," kata Edwards.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...