Jumaat, 21 April 2017

Gangster Berpesta Depan Sekolah Dicekup Polis


BAGAIKAN babak dalam filem Tamil, demikian aksi sekumpulan remaja yang menimbulkan kekecohan di hadapan sebuah sekolah di Klang, Selangor baru-baru ini.

Visual kejadian tersebut menjadi tular setelah dikongsi menerusi media sosial dengan dua rakaman video dimuat naik yang jelas memaparkan gelagat sekumpulan remaja menaiki motosikal.
Klip video itu sekali gus mencetuskan suasana yang tidak selamat dalam kalangan pelajar sekolah dan penduduk setempat sekiranya kumpulan tersebut gagal dibendung sehingga berani bertindak ganas.

Dalam video tersebut, ia turut memaparkan seorang remaja membakar mercun dan dilayangkan ke udara dalam keadaan membahayakan pengguna kenderaan lain.
Satu video lagi memaparkan sebiji kek yang ditulis angka 24, Apache dan memaparkan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Andalas dipotong oleh seseorang sebelum kumpulan remaja tersebut beredar.
Kejadian tersebut disaksikan pelajar sekolah yang terkejut dan tidak mampu melakukan sebarang tindakan kerana bimbang dicederakan oleh kumpulan remaja yang dipercayai ahli kumpulan Gangster 24.
Susulan kejadian itu, lapan belas individu termasuk 13 pelajar sekolah menengah disyaki terbabit dalam kumpulan kongsi gelap Geng 24 direman empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, semua suspek berusia 16 hingga 25 tahun itu diberkas di sekitar Klang bermula petang semalam hingga awal pagi Jumaat.
“Penahanan dibuat hasil laporan polis mengenai video tular memaparkan sekumpulan individu berkumpul di sekitar kawasan sekolah antaranya memotong kek, memegang sepanduk dan memakai baju ada kaitan dengan Geng 24,” katanya.
Menurut Fadzil, tempoh reman yang diperoleh itu membolehkan pihak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengikut Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966.
Beliau berkata, motif sebenar kejadian itu sedang dikenal pasti dan individu lain yang terbabit dalam video berkenaan diminta tampil kepada polis untuk tindakan lanjut.



Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternyapetang semalam, berkata polis mengesan pembabitan pelajar Sekolah Menengah (SM) Andalas, SM Raja Mahadi, SM Shahbandar dan SM Kampung Jawa dalam geng berkenaan.
“Syabas STAFFOC @PDRMsia 13 pelajar, 5 bukan pelajar di sekitar Klang. Ramai lagi akan ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti Geng 24. #GoPDRMGo.
“@PDRMsia kesan penglibatan pelajar-pelajar SM Andalas, SM Raja Mahadi, SM Shahbandar, SM Kampung Jawa dalam aktiviti Geng 24,” kicau Khalid menerusi Twitternya– MYNEWSHUB.CC
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...