Khamis, 13 April 2017

EXCO lama FAM tidak bertanggungjawab: TMJ



Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membidas tindakan barisan EXCO terdahulu yang dilihat tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan persatuan itu berkemungkinan kehilangan RM34 juta.

Presidennya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata beliau kecewa dengan barisan EXCO itu yang menandatangani perjanjian menguntungkan pihak lain sekali gus meletakkan persatuan badan induk bola sepak itu dalam keadaan yang sukar. 

"Bagaimana FAM boleh tandatangani perjanjian yang lebih memihak kepada pihak lain? Sepatutnya keutamaan, kelebihan dan jaminan kewangan atau apa saja kepentingan adalah kepada FAM.

"Bagaimanapun, sekarang ini apa yang berlaku adalah perjanjian yang lemah sudah ditandatangani oleh FAM dan meletakkan badan induk itu dalam keadaan yang susah. "FAM kini berhadapan dengan dua kes iaitu satu kes membabitkan MP & Silva. 

Sekiranya kita kalah, FAM terpaksa membayar RM25 juta juta termasuk tambahan RM9 juta lagi jika kalah dengan satu lagi syarikat yang kita tandatangani untuk skuad pembangunan Harimau Muda ke Slovakia, " katanya menerusi akaun Facebook Football Association of Malaysia (Official), hari ini.

Sehubungan itu, pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memandang serius perkara itu dan akan cuba menyelesaikan perkara terbabit di luar mahkamah bagi memastikan FAM dapat menjaga duit yang ada dalam persatuan sukan terbabit. 

"Saya sudah berhubung dengan rakan saya dari Singapura dan menggunakan kenalan yang saya ada dalam kerajaan Johor. Saya akan berjumpa sendiri dengan pemilik atau orang atasan MP & Silva untuk menyelesaikan perkara ini. 

"Nampaknya walaupun FAM akan menerima kemasukan duit tetapi duit itu akan keluar semula jika kita kalah dengan kes berkenaan. 

Jika FAM tiada duit, tiadalah peruntukan untuk pasukan yang bertanding di dalam liga Malaysia dan juga skuad kebangsaan," katanya.

 www.bharian.com.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...