Isnin, 27 Mac 2017

Tragedi basikal: Pemandu wanita didakwa esok


JOHOR BAHRU: Pemandu wanita yang terbabit dalam kemalangan berbasikal sehingga meragut lapan nyawa di Jalan Lingkaran Dalam di sini bulan lalu, akan didakwa di Mahkamah Trafik Johor Bahru, esok.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, di sini hari ini.

Pemandu wanita itu dijangka didakwa mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.


Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum RM20,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu sehingga tiga tahun bagi sabitan pertama, manakala 10 tahun bagi sabitan kedua serta seterusnya. 

Katanya, wanita berusia 22 tahun itu akan dihadapkan ke mahkamah esok pagi selepas kertas siasatan berhubung kemalangan berkenaan disiapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi pada 18 Februari lalu, lapan remaja maut, manakala lapan lagi cedera apabila basikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta Nissan Almera. 

Ketika kejadian, sekumpulan 20 hingga 30 remaja berbasikal berada di tepi jalan berkenaan sebelum dirempuh pemandu kereta terbabit.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...